Thursday, 11 August 2011

andai kita ikhlas semuanya menjadi, bukan?

oleh : nuurjeehan

[Al-Baqarah, Ayat : 264]
Wahai orang-orang yang beriman! Jangan rosakkan (pahala amal) sedekah kamu dengan menyebut-nyebut dan menyakiti perasaan si penerima seperti orang yang membelanjakan hartanya kerana riak kepada manusia, dan tidak beriman kepada Allah dan hari akhirat. Maka bandingan orang itu ialah batu licin yang ada tanah di atasnya, kemudian batu itu ditimpa hujan lebat, lalu ditinggalkannya bersih licin. Mereka tidak mendapat sesuatu pun dari apa yang mereka usahakan. Dan Allah tidak akan memberi petunjuk kepada kaum yang kafir. 
[Al-Baqarah, Ayat : 265]
Dan bandingan orang yang membelanjakan hartanya kerana mencari keredhaan Allah dan keteguhan (iman) yang timbul dari jiwa mereka, adalah seperti sebuah kebun di tempat yang tinggi, yang ditimpa hujan lebat, lalu mengeluarkan hasilnya dua kali ganda. Kalau tidak ditimpa hujan lebat, maka hujan renyai-renyai pun (cukup untuk menyiraminya). Dan, Allah sentiasa Melihat apa yang kamu lakukan.
[Al-Baqarah, Ayat : 266]
Adakah seseorang di antara kamu suka mempunyai sebuah kebun dari pokok tamar dan anggur, yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, ia mempunyai dalam kebun itu segala jenis buah-buahan, sedang ia sudah tua dan mempunyai anak cucu yang kecil, lalu kebun itu diserang angin taufan yang membawa api lalu terbakarlah ia? Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu keterangan-keterangan, supaya kamu berfikir (dan mengambil iktibar).
Sheikh Sya’rawi berkata: “Mereka yang seperti batu yang licin yang ada padanya debu kemudian datangnya hujan tanpa meninggalkan sebarang bekas merupakan sifat-sifat bagi siapa yang dikehendaki dengan infak secara riak kepada manusia. Lantas Allah membatalkan balasan untuk mereka dan tidak mentaufikkan ke arah kebaikan dan pahala. “Seterusnya Allah menyebut yang berlawanan dengan sifat di atas iaitu mereka yang menafkahkan semata-mata kepada Allah SWT”.
Firman Allah SWT, Dan perumpamaan orang-orang yang membelanjakan hartanya kerana mencari keredaan Allah dan untuk keteguhan jiwa mereka, seperti sebuah kebun yang terletak di dataran tinggi.
Sayyid Qutub berkata: “Ia menginfakkan harta kerana keyakinannya yang teguh kepada kebajikan, kerana kesedaran yang lahir dari keimanannya dan kerana keimanannya yang bertunjang dengan mendalam di dalam hati nuraninya.
“Jika hati yang keras ditutup dengan tabir riak itu dilambangkan dengan batu licin yang keras yang ditutupi tanah, maka hati yang mukmin itu dilambangkan dengan sebuah kebun yang subur yang mempunyai tanah yang dalam, dibandingkan dengan segenggam tanah di atas batu yang keras tadi, sebuah kebun yang terletak di atas sebuah dataran yang tinggi dibandingkan dengan segenggam tanah di atas batu keras yang licin tadi.
“Ini menjadikan pemandangan itu mempunyai bentuk-bentuk yang selaras. Apabila kebun ini ditimpa hujan lebat, maka ia tidak menghakiskan tanahnya yang subur sebagaimana ia menghakiskan tanah yang tipis di atas batu yang pejal itu. Malah ia menghidupkan tanam-tanamannya dan menyuburkan serta membanyakkan hasilnya”.
Firman Allah SWT: Yang disiram oleh hujan lebat, Maka kebun itu menghasilkan buahnya berlipat ganda. Jika hujan lebat tidak menyiraminya, Maka hujan gerimis (pun memadai).
Al-Nasafi berkata: “Allah SWT umpamakan hal mereka dengan kebun yang disirami air dan nafkah yang banyak dan sedikit dengan hujan yang banyak sebagaimana setiap satu daripada hujan boleh menggandakan hasil tanam begitu juga nafkah mereka yang banyak dan yang sedikit selepas daripada dituntut dengannya keredaan Allah akan bertambah dan baik kesudahannya”.
Melipat ganda, Sayyid Qutub berkata: “Air hujan itu menghidupkan pokok di kebun itu sebagaimana sedekah menghidupkan hati yang mukmin lalu ia menjadi bersih dan bertambah kuat hubungannya dengan Allah, dan hartanya juga turut bersih dan Allah melipat gandakan balasannya seberapa banyak yang ia sukai, dan seterusnya kehidupan kelompok muslimin juga turut menjadi bersih, baik dan berkembang subur dengan sebab infak itu”.
Beliau menambah: “Yakni jika tidak ada hujan yang lebat, maka hujan gerimis yang sedikit cukup untuk tanah kebun yang subur itu. Itulah satu adegan yang sempurna yang memaparkan pemandangan- pemandangan yang bertentangan dan dengan perincian-perincian yang tersusun rapi. Ia dibentangkan dengan cara keselarasan yang melemahkan manusia.
“Ia melambangkan setiap perasaan di dalam hati dan setiap fikiran dengan pemandangan-pemandangan yang jelas. Ia menggambarkan perasaan-perasaan dan pergerakan-pergerakan jiwa dengan keadaan dan pemandangan- pemandangan fizikal yang setanding dengannya. Ia menyarankan ke dalam hati supaya memilih jalan yang betul dengan cara mudah yang terbaik”.
Firman Allah SWT: Dan Allah Maha Melihat apa yang kamu perbuat.
Al-Nasafi berkata: “Allah melihat segala amalanmu sama ada banyak atau sedikit serta mengetahui niatmu sama ada riak atau ikhlas.
“Oleh sebab dengan ini dari satu aspek yang menjadi tontonan mata kasar dan mata hati dan segala yang disebut di dalamnya juga dikembalikan kepada Allah Yang Maha Melihat dan Mengetahui segala apa yang ada di sebalik segala yang nyata”.
Firman Allah SWT: Apakah ada salah seorang di antaramu yang ingin mempunyai kebun kurma dan anggur yang mengalir di bawahnya sungai-sungai; dia mempunyai dalam kebun itu segala macam buah-buahan.
Al-Maghari berkata: “Telah berlangsung sunah al-Quran bahawa menyebut kemuliaan dengan buah dan pohon kurma dengan buahnya kerana setiap sesuatu dari pohon kurma semuanya memberi manfaat kepada kehidupan manusia sama ada daunnya, batangnya, mayangnya, pelepahnya yang boleh digunakan kesemuanya”.
Sayyid Qutub berkata: “Ia sebuah kebun yang teduh, rimbun, subur dan berbuah. Demikianlah juga sifat sedekah dan kesan-kesannya dan beginilah keadaannya dalam hidup si pemberi, dalam hidup si penerima dan dalam hidup masyarakat manusia.
“Demikianlah juga sedekah itu mempunyai roh, bayang yang teduh, kebajikan dan keberkatan, mempunyai makanan dan minuman dan mempunyai kebersihan, kesuburan dan pertambahan.
“Siapakah yang ingin mempunyai kebun atau kebajikan yang seperti ini kemudian ia melepaskan (ribut) perbuatan yang membangkit- bangkitkan pemberian dan perkataan yang menyakitkan hati dan memusnahkan kebajikan itu sebagaimana kebun dimusnahkan oleh ribut yang kencang yang mengandungi api.
“Bilakah kebun itu dimusnahkan? Ia dimusnahkan pada waktu tuannya berada dalam keadaan yang paling lemah untuk menyelamatkannya dan paling berkehendak kepada bayang-bayang yang teduh dan hasilnya yang baik”.
Firman Allah SWT: Kemudian datanglah masa tua pada orang itu sedang dia mempunyai keturunan yang masih kecil-kecil. Maka kebun itu ditiup angin keras yang mengandung api, lalu terbakarlah.
Ibnu Jauzi berkata, ayat ini menggambarkan perumpamaan Allah dengan sebab kerugian ketika ditarik nikmat ketika keperluan yang amat mendesak.
Orang yang dimaksudkan ini terdapat tiga pandangan ulama :
Pertama: Bahawa ia diumpamakan yang disudahi kehidupannya dengan amalan yang tidak baik seperti kata Ibnu Abbas.
Kedua: Bahawa ia diumpamakan seperti orang yang cuai pada ketaatan kepada Allah sehingga mati. Inilah pendapat Mujahid.
Ketiga: Ia diumpamakan seperti orang yang riak dalam nafkah yang terputus manfaatnya ketika ia amat perlu. Inilah pendapat As-Suddi.
Firman Allah SWT: Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayat-Nya kepada kamu supaya kamu memikirkannya.
Ibnu Kathir berkata: “Supaya kamu mengambil iktibar dan memahami segala perumpamaan dan makna dan kamu menurunkannya mengikut apa yang dikehendakinya”.
Iktibar Ayat :
  • Perumpamaan untuk mendekatkan kefahaman (tentang keikhlasan).
  • Infak kerana Allah mendapat ganjaran yang besar.
  • Mengisbatkan sifat Allah yang Maha Melihat.

No comments:

Post a Comment